Kebetulan
hari ini sewaktu Cikgu Harom sedang meronda koridor kelas, beliau melepasi
bilik darjah tahun akhir "5 Meteor". Kelas ini, seingatnya, adalah
kelas yang paling cemerlang sepanjang tahun. Dengan markah peperiksaan yang
sentiasa 90 ke atas, hasil kerja tugasan yang berkualiti, tidak lupa juga
pencapaian pelajar-pelajar kelas ini menjadi juara Pertandingan Gusti Raksasa
Peringkat Negeri, kelas "5 Meteor" jelas sekali adalah kelas
kebanggaan Institut Latihan Muda-mudi Unik.
Nyatalah
waktu ini memang waktu rehat. Tiada seorang pun pelajar yang kelihatan di bilik
darjah ini, fikir Cikgu Harom. Sedang beliau mula menoleh keluar kelas, beliau
ternampak sesuatu di ekor matanya. Sangkaan Cikgu Harom silap. Ada lagi seorang
pelajar yang masih berada di dalam kelas. Dengan perasaan sedikit malu, beliau
menoleh kepada pelajar yang sedang duduk di mejanya tadi.
"Maaf
ya, Cikgu cuma meronda sahaja," katanya.
Senyap.
Cikgu Harom
berhenti. Beliau mendongak sedikit, menunggu pelajar tadi membalas tegurannya.
Setelah beberapa saat, beliau berjalan ke arah pelajar tadi yang masih duduk
selamba berseorangan. Mejanya kosong kecuali sepucuk beg pensel yang terbuka
zipnya.
Wajah
pelajar tadi kelihatan muram. Badannya lentok sedikit dan matanya kuyu, dia
nampak samada letih, atau sangat bosan. Mulutnya terbuka beberapa milimeter,
menampakkan dua batang gigi depannya yang megah terpacul keluar bibirnya. Rupa dan lagak pelajar
ini yang bersahaja meragukan Cikgu Harom, menyebabkan beliau tersentak
seketika.
"Kenapa
dengan budak ini. Ada masalah peribadi mungkin," fikir Cikgu Harom.
Sebagai guru
yang perihatin, beliau sudah biasa melayan kerenah pelajar remaja seperti ini..
Beliau
mengambil kerusi berdekatan meja pelajar tadi lalu duduk bertentangan
dengannya. Beliau mengecilkan matanya untuk membaca tanda nama yang tertera di
poket uniform pelajar tadi: "Jimi".
"Jimi,"
kata Cikgu Harom. "Kenapa kamu masih di kelas? Kawan-kawan kamu semua di
kantin, kan?"
Jimi
mengelip matanya sekali.
"Tak
lapar ke?"
Jimi
mengelip matanya sekali lagi.
Cikgu Harom
semakin risau. Beliau cuba mengimbas kembali ke zaman persekolahannya. Sangat
jarang ada pelajar bersuperpower yang memilih untuk bersendirian di bilik
darjah di waktu rehat. Lagi-lagi dengan perasaan murung sebegini rupa. Kalaupun
mereka berasa sedih atau emosional, biasanya mereka hanya akan ke gim dan
melepaskan geram menggunakan kuasa mereka.
"Kuasa.."
kata Cikgu Harom dalam hatinya. Jimi masih tidak bergerak. Mungkin si Jimi ini
masih belum timbul kuasanya. Terjadi juga kes-kes begini di kalangan remaja.
Pelajar yang bijak dari segi akademik dan cemerlang dalam kegiatan kokurikulum
lain, tetapi tidak menunjukkan apa-apa tanda kuasa luarbiasa.
Selalunya
pelajar sebegini dimasukkan di I.L.M.U. kerana laporan kesihatan kerajaan
mengesahkan mereka mempunyai DNA superhero, namun kuasa mereka lambat timbul.
Mereka biasa diejek rakan-rakan dengan panggilan seperti "lembab",
"stupidhero", dan macam-macam nama lain yang memanaskan telinga Cikgu
Harom. Mangsa buli seperti mereka perlu dipupuk dengan baik, takut-takut bila
kuasa mereka timbul kelak, mereka mungkin terjebak jadi supervillain pula.
Cikgu Harom
menyeluk tangannya ke dalam beg pensel tadi, lalu mengeluarkan sebatang pen.
"Kamu
pernah guna pen yang tiada dakwat?," tanya Cikgu Harom sambil meneliti pen
itu.
"Macam
mana kamu tulis pun, dakwatnya tetap degil. Tak mahu juga keluar,"
sambungnya sambil membuat gaya menconteng pen di udara.
"Tapi
pen ini masih berdakwat, kan? Nampak?," Cikgu Harom menuding jarinya ke
kelongsong lutsinar pen itu. Jelas kelihatan dakwat biru yang masih banyak di
dalamnya.
"Di
dunia ni tiada benda pun yang sempurna, Jimi. Bersabarlah. Lambat laun akan
keluar juga dakwatnya nanti."
Jimi tidak
bersuara. Tidak tersenyum, tidak mengeluh, tidak juga mengelip matanya seperti
tadi. Malah, dia tidak bergerak walau semilimeter pun.
Cikgu Harom
mengerut dahinya. "Penat-penat aku bercerita, budak ini masih terlopong.
Buang tenaga sahaja," kata beliau dalam hati. Cikgu Harom bingkas berdiri.
Mungkin si Jimi ni sakit, fikirnya.
Dari jauh
kedengaran bunyi tapak kaki pelajar yang riuh bergegas pulang dari waktu rehat.
Baru sahaja Cikgu Harom menoleh untuk ke luar, tali lehernya terbang ke atas
ditiup deras angin yang muncul lalu lesap secara tiba-tiba. Di hadapan papan
hitam sekarang terpacak berdiri Mohd Farah, ketua kelas "5 Meteor".
Dia sedang memegang sebatang kayu aiskrim.
"Kamu
ni! Terkejut Cikgu," kata Cikgu Harom, hampir menjerit. "Tahulah kamu
tu laju, tapi nak masuk bilik pun jaga-jagalah. Habuk ni!"
"Maaf,
Cikgu.." kata Mohd Farah. Dia menunduk, matanya terhinggap ke batang
aiskrim yang kosong di tangannya. Kepalanya terus menjenguk ke luar kelas
mencari-cari, hampa.
"Cikgu
nak tanya ni," kata Cikgu Harom sambil menuding pen di tangannya ke arah
Mohd Farah. "Kenapa dengan Jimi tu? Kamu semua buli dia ke?"
"Mana
ada," jawab Mohd Farah sambil membuang batang kayu tadi ke bakul sampah.
"Pelajar
yang tiada kuasa hebat macam kamu, tak usahlah dibuli, faham?" ujar Cikgu
Harom lagi.
"Mana
ada kami buli dia," balas Mohd Farah.
"Habis
tu kenapa dia duduk seorang sahaja di bilik darjah ni?"
Mohd Farah
membelek ke arah meja Jimi.
"Oh. Tu
bukan Jimi la Cikgu."
Cikgu Harom
mengangkat keningnya tinggi. Dia menoleh ke arah "Jimi" tadi.
Perlahan-lahan beliau mencucuk matanya dengan pen.
Pen tadi
menusuki mata Jimi dan hujungnya tertembus keluar ke belakang kepalanya tanpa
rintangan. Terasa seperti pen tadi menembus angin. "Jimi" mengelip.
"Tu
klon dia. Jimi boleh buat klon guna cahaya."
"Buat
apa?" kata Cikgu Harom yang terbeku di situ.
"Dah
seminggu dah dia syak pen dia ada orang ambil. Dia buat klon ini untuk
perangkap pencuri tu."
Bunyi tapak
kaki pelajar semakin dekat didengari. Sepasang kaki yang melangkah cemas
kedengaran. Dari pintu kelas yang bertentangan dengan Cikgu Harom, masuklah
seorang pelajar bermata kuyu bergigi ke depan.
Jimi
menuding jarinya ke arah Cikgu Harom dengan penuh semangat.
"HAAA!
..eh."